Sunday, 7 August 2016

The Shore Oceonarium, Melaka

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah pada hujung minggu lalu, aku sekeluarga berkesempatan berkunjung ke The Shore Oceanarium, Melaka. Pada asalnya aku dan suami mahu membawa Little Muhammad berkunjung ke Zoo Melaka, namun melihatkan langit yang agak mendung kami menukar perancangan kerana khuatir hujan akan turun. Kami terus membuat keputusan untuk ke The Shore Oceanarium kerana tempatnya yang lebih tertutup di dalam kawasan bangunan 'Shopping Mall The Shore'.

The Shore Oceanarium ini terletak di tingkat 2 The Shore sebaris dengan kedai Spa Bayi. Tiket masuk ke The Shore ini berharga RM35 seorang bagi dewasa  (tiket + cermin mata 3D + cenderahati) dan kanak-kanak (3 - 12 tahun) serta warga emas (60 tahun ke atas) RM25 seorang. Kami juga ada membeli makanan untuk penyu yang berharga RM10 sebekas. Little Muhammad tidak dikenakan sebarang yuran tiket.

Pengunjung pada hari ini tidak ramai kerana hari kami pergi tu hari Jumaat dan orang lain masih lagi bekerja. Ini merupakan kali kedua aku membawa Little Muhammad ke sini. Sebelum ini aku datang bersama adik. Kunjungan kali ini barulah suamiku mengikut sekali. Little Muhammad begitu teruja berada di sana. Dia sangat suka apabila dapat memegang sendiri ikan, tapak sulaiman, gamat dan belangkas. Aktif sungguh anakku itu. Sekejap kesana, sekejap kesini. Nampak keterujaannya disitu. Apabila tiba di replika jerung Muhammad berpatah balik kepadaku. Kemudian baru aku perasan adanya jerung disitu. Muhammad memang agak takut dengan jerung. Ada satu buku ceritanya yang mempunyai gambar jerung. Little Muhammad akan segera menepis buku cerita tersebut bila tiba di bahagian jerung tersebut. Agak kelakar melihat keletahnya. 

Little Muhammad mahu berjalan sendiri dan tidak mahu dipegang tangannya sepanjang di The Shore Oceanarium. Dari satu akuarium ke satu akuarium dia pergi. Hinggalah ke stesen terakhir, stesen penyu. Di situ suamiku terpaksa mendukung Muhammad kerana khuatir dia akan turun ke kolam penyu tersebut. Besar sungguh penyu-penyu yang terdapat disitu.

Keseluruhannya, kunjungan kami sekeluarga ke situ memberi seribu satu kenangan dan informasi kepada kami sekeluarga. Muhammad juga sudah semakin cerdik dan dapat memahami keadaan yang berlaku disekelilingnya. Semoga lawatan ini dapat menanam lebih banyak input dan meransang perkembangannya secara menyeluruh.





Teks: Nurul Khairun bt Naim
Foto: carian google

No comments:

Post a Comment