Wednesday 3 September 2014

Salam Perkenalan

Pada tanggal 11 November 1986 pasangan guru Naim bin Baharudin dan Wan Zaharah Wan Sulaiman. telah menerima kelahiran sulung puteri mereka yang diberi nama Nurul Khairun binti Naim. Puteri ini ditatang bagai minyak yang penuh. Pada ketika itu pasangan ini duduk dan mengajar di sekolah di kawasan pedalaman Hulu Selangor. Sedari kecil lagi puteri ini telah diterapkan dengan nilai hidup dan cara kehidupan yang sederhana.

Pendidikan formal bermula pada tahun 1993 di sebuah Sekolah Rendah Islam Sri Abim di Alor Setar, Kedah mengikut kedua ibu bapa yang kebetulan dapat berpindah pulang ke Alor Setar Kedah. Pada pertengahan 1995 kedua ibu bapa telah membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia. Maka bermulalah episod perpindahan sekolah saya bersama adik-adik dari satu sekolah ke satu sekolah yang lain. Saya menerima pendidikan formal sekolah rendah di empat buah sekolah yang berlainan. Ia memberikan saya peluang untuk bergaul dengan pelbagai kumpulan sosial yang berbeza dari kehidupan kampung sehinggalah kehidupan di sebuah bandaraya. Didikan hidup yang sederhana menjadikan saya dan adik-adik tidak mudah terkena kejutan budaya apabila bertukar status sosial. Terima kasih ibu dan ayah atas didikan yang diberikan.

Pada tahun 1997 kami sekeluarga kembali ke Alor Setar setelah ibu dan ayah tamat melanjutkan pelajaran. Agak kekok pada mulanya untuk bergaul dengan rakan-rakan yang berlainan 'accent' percakapannya. Namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk belajar dan berkawan bersama. Setelah mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR saya berjaya menempatkan diri di sebuah sekolah berasrama negeri Kedah. Sekolah itu mewajibkan semua pelajarnya untuk tinggal di asrama. Bermulalah ranjau dan duri kehidupan sebagai seorang pelajar asrama. Ibu bapa pula sejak tamat melanjutkan pelajaran mereka mula melibatkan diri dengan kanak-kanak istimewa. Dari situ jugalah saya mula mengenali golongan istimewa ini dan seterusnya menimbulkan minat untuk bekerja bersama mereka.

Pada setiap hujung minggu, kedua ibu bapa akan membawa saya dan adik-adik untuk bersama-sama menyertai kelas renang bersama kanak-kanak istimewa. Pada mulanya agak janggal memerhatikan tingkah laku mereka yang berlainan dengan rakan-rakan di sekolah. Namun lama kelamaan perasaan janggal itu hilang digantikan dengan perasaan bersyukur dan gembira kerana dilahirkan sempurna berbanding kanak-kanak istimewa ini. Ayah dan ibu sangat sibuk dengan program bersama kanak-kanak istimewa ini sehinggakan kadang-kadang tiada masa untuk kami adik beradik. Setiap kali cuti sekolah dan hujung minggu mereka akan terlibat program bersama kanak-kanak istimewa ini. Sehingga lah hampir dua minggu lagi saya akan menduduki SPM barulah dapat bersua bersama ibu bapa kembali. Ketika itu ibu melahirkan rasa maafnya kerana tidak dapat meluangkan masa bersama saya hatta tidak dapat datang menjenguk saya di asrama berminggu-minggu. Tapi kata-kata ibu menginsafkan saya kembali. Ibu berkata jika kita berbuat baik dengan anak-anak istimewa ini, insyaAllah Allah akan buat baik dengan kita, jika kita menjaga anak-anak istimewa ini, insyaAllah Allah akan jaga anak-anak kita. Sesungguhnya anak-anak istimewa ini anak-anak syurga. Jika bukan kita yang menggembirakan dan mengetengahkan potensi mereka, siapa lagi yang akan melakukannya. Sejak itulah saya mula redha menerima keadaan ibu dan ayah yang sentiasa sibuk bersama anak-anak istimewa ini. Sejak itu juga saya berniat untuk bersama-sama menceburkan diri dalam bidang sebegini.

Alhamdulillah, dengan keputusan SPM yang diperolehi, saya berjaya menempatkan diri ke Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur dalam bidang pendidikan khas. Bermulalah perjalanan saya sebagai guru pelatih yang bakal mengajar kanak-kanak istimewa satu hari nanti. Setelah tamat pengajian saya ditempatkan di Sekolah Pendidikan Khas Melaka bagi mengajar kanak-kanak istimewa bermasalah pendengaran. Berhadapan dengan situasi sebenar di sekolah amat berbeza jika dibandingkan ketika menjadi guru pelatih. Pada ketika ini saya perlu berhadapan dengan pelbagai pihak seperti pentadbir sekolah, ibu bapa, NGO dan juga Badan-badan lain yang berkaitan dengan kanak-kanak istimewa. Cabaran yang dilalui adalah pelbagai. Setiap hari sentiasa ada perkara baru yang dipelajari. Walaupun kebanyakan individu menyatakan tiada kepuasan mengajar kanak-kanak bermasalah pendengaran berbanding kanak-kanak tipikal. Namun manisnya tetap ada di situ. Bukalah hati dan letakkan diri anda di tempat mereka. InsyaAllah persefahaman dan kerjasama akan terjalin disitu.

Alhamdulillah, saya telah berumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Muhammad Dhiya Umair. Dialah permata hati saya sekeluarga. Sesungguhnya perancangan Allah adalah sebaiknya. Jika di awal perkahwinan dahulu saya dan suami terpaksa tinggal berjauhan berikutan seorang bekerja di Melaka dan seorang bekerja di Johor. Setelah kelahiran cahaya mata ini, saya dapat bertukar dan berpindah ke Johor. Kebetulan pada masa yang sama pengajian sarjana juga telah selesai dan hanya menunggu hari konvokesyenya sahaja. Nikmat yang mana satukah harus aku dustakan. Sesungguhnya inilah yang terbaik untukku, untuk keluargaku, untuk murid-muridku dan InsyaAllah untuk ummahku.


SETIAP YANG BERLAKU PASTI ADA HIKMAHNYA

Salam Perkenalan :)


Ummi Nurul

Facebook: Nurul Khairun Naim
Instagram: nurulkhairunnaim/ theoillady
WhatsApp: +60194092941